Khamis, 8 Mac 2012

PM Mansuhkan Skim Sistem Saraan Baru Perkhidmatan (SBPA),pelarasan gaji 7 - 13 peratus.

Dari  Harian Metro ,


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan Skim Saraan Baru Penjawat Awam (SBPA) dimansuhkan.
Dalam pengumuman di depan ribuan penjawat awam di Putrajaya hari ini, Najib berkata keputusan itu dibuat setelah mendengar rintihan penjawat awam yang tidak berpuas hati.
“Dengan keputusan ini, Skim Saraan Malaysia (SSM) dikembalikan dengan penambahbaikan,” katanya pada majlis Perhimpunan Khas Penjawat Awam bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.
Berhubung pelarasan gaji pula, ia dibuat berdasarkan jadual gaji matriks SSM mengikut peratusan gred yang ditetapkan
seperti berikut:
  • Kenaikan 13 peratus bagi kumpulan pengurusan, profesional dan pelaksana dari gred 1 hingga 54.
  • Kenaikan 9 peratus untuk gred utama kumpulan JUSA C, B dan A.
  • Kenaikan 8 peratus untuk turus 3 dan 2.
  • Kenaikan 7 peratus untuk turus 1 dan ketua setiausaha.
  • Najib mengakui sepanjang tempoh tiga bulan SBPA diperkenalkan, kerajaan menerima hampir 1,000 aduan dan memorandum, termasuk cadangan daripada 23 persatuan berkaitan.
“Saya harap semua pihak reda dan tak ada lagi yang tak puas hati di semua peringkat. Saya doakan ini jadi penyelesaian terbaik,” katanya.
Kerajaan juga bersetuju elaun bantuan sara hidup (COLA) bagi kawasan B dan C masing-masing dinaikkan daripada RM150 kepada RM250 sebulan.
Sebelum ini, COLA bagi kawasan B dan C masing-masing ditetapkan pada kadar RM200 dan RM100.
Najib juga mengumumkan pembentukan suruhanjaya yang dianggotai pihak berkepentingan, seperti kementerian kewangan dan Cuepacs bagi mengkaji tuntutan-tuntutan lain penjawat awam.
Sementara itu, Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata, beliau akan membangkitkan beberapa perkara yang belum diputuskan dalam suruhanjaya yang dibentuk itu.
“Kita rasa lega sikitlah dengan adanya suruhanjaya. Kalau tak, kita kena buat jawatankuasa itu, jawatankuasa ini,” katanya.
Omar juga berharap kenaikan gaji yang diberikan tidak diikuti dengan kenaikan harga barangan yang boleh membebankan pengguna.
Malaysiakini



http://noorzza.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

http://noorzza.blogspot.com/